Showing posts with label Indahnya Nur Islam. Show all posts
Showing posts with label Indahnya Nur Islam. Show all posts

Thursday, February 14, 2013

Surah Dhuha

Aku buat entry ni untuk rujukan aku.. senang sket.. dan untuk dikongsi dengan semua.. mari kita amalkan..

Diambil dari website www.surah.my

Surah Adh-Dhuha - سورة الضحى

Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

A001
Demi waktu dhuha,
(Adh-Dhuha 93:1

A002
Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
(Adh-Dhuha 93:2) |
A003
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
(Adh-Dhuha 93:3)
A004
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
(Adh-Dhuha 93:4)
A005
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
(Adh-Dhuha 93:5
A006
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
(Adh-Dhuha 93:6
A007
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
(Adh-Dhuha 93:7)
A008
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
(Adh-Dhuha 93:8
A009
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
(Adh-Dhuha 93:9
A010
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
(Adh-Dhuha 93:10)
A011
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Fadilat Surah Dhuha (diambil dari p.kasih.blogspot dan alhishamz.blogspot )


Surah Ad-Dhuha adalah surah yang ke 93 di dalam al-Quran dan mengandungi 11 ayat. Surah ini telah ditetapkan susunannya oleh Allah selepas kedudukan Surah Al-Lail di mana pasti ada hikmahnya. Semua surah yang ditentukan susunannya di dalam al-Quran ada hubungkait antara satu sama lain bermula dari Surah Al-Fatihah yang pertama sehinggalah kepada yang terakhir iaitu Surah An-Nas. Surah Ad-Dhuha dimulakan Allah dengan satu sumpah iaitu "Demi waktu Dhuha." Kita sebagai hamba Allah hendaklah perhatikan hakikat betapa pentingnya waktu Dhuha itu sehingga Allah bersumpah dengan waktu Dhuha dan juga dengan waktu malam bahawa ia tidak meninggalkan atau membenci Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang diperkatakan oleh kaum kafir musyrik. Allah SWT memberi semangat kepada baginda agar jangan menghiraukan tuduhan dan fitnah musuh musuh Islam.

Banyak yang kita boleh ambil darinya mengenai fadhilat dan juga faedahnya,

  • diamalkan membacanya menjadi wirid 7 kali pada setiap pagi ketika matahari terbit dan 7 kali setiap matahari terbenam,insya allah akan terselamat dari kecurian atau kehilangan.
  • sekiranya terjadi kehilangan atau kecurian maka kerjakanlah solat dhuha 3 kali yakni 6 rakaat pada setiap pagi jumaat sehinggalah yang hilang itu dapat kembali,selepas memberi salam maka berdoalah memohon kepadanya.
  • sesiapa yang mengamalkan membaca surah Adh Dhuha 40 kali setiap hari, selama 40 hari dan berdoa memohon kepadanya, insya Allah hidupnya akan terjauh dari keadaan fakir. 
  • Ni mak aku la yang bagi tau (love you mak.. muaahhss!) kalau kita sesat jalan kt mana-mana especially dalam hutan, baca surah Dhuha ni.. In sha Allah dengan izinNya.. kita akan menemui jalan sebenar.. kesahihannya aku pun tak sure..tapi yakin la dengan al-Quran dan kebesaran Ayat-ayatNya.. tengok pada ayat 5 A007
    Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)? 
    (Adh-Dhuha 93:7)  so yakin la mohon betul2.. mudah-mudahan diperkenankan.. waallahualam


Ternyata di waktu itu ada satu ibadah yang amat digalakkan kita melakukannya iaitu Solat Sunat Dhuha. Biasa orang kata,
"..takpe sunat je... buat dapat pahala, tak buat tak dapat dosa..."
Hakikatnya dalam membicarakan Solat Sunat Dhuha ini, kita sebaiknya tukar pendapat tersebut biar jadi... "Jika buat dapat pahala, tapi kalu tak buat rugi besar lah kita..." 


Cara solat Dhuha nanti aku buat entry yang lain..




Qaseh...
alynn fazz

Tuesday, February 12, 2013

FAQ Ibu Susuan

sticky pos.. Aku gam pos soalan lazim mengenai isu susuan ini untuk rujukan semua..

Soalan-soalan Lazim (FAQ) ini telah dikompilasi selepas kami berhubung dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM, iaitu pihak berkuasa tentang hal-hal agama Islam di Malaysia) dan blog Ustaz Naim (ustaznaim.blogspot.com yang disahihkan oleh JAKIM sebagai sumber yang kredibel). Soalan-soalan Lazim berikut tidak lah menyeluruh, dan bukan untuk menggantikan tanggungjawab anda mengkaji sendiri tentang perkongsian susu dalam aspek Islam. Sila rujuk dengan Imam dan ulama' Islam yang lebih berpengetahuan tentang hukum-hukum Islam jika anda mempunyai sebarang soalan. 

Human Milk 4 Human Babies - Malaysia tidak bertanggungjawab untuk menyimpan atau mengurus-selia sebarang butiran tentang persaudaraan susuan yang timbul daripada perkongsian susu ibu. 

A. SIAPAKAH YANG BOLEH MENYUSU DAN DISUSUI?

A1. SAYA MAHU MENJADI IBUSUSUAN
1. Adakah saya boleh menyusukan bayi selain daripada anak kandung saya
2. Saya mahu menjadi ibu susuan. Adakah saya perlu mendapatkan kebenaran suami saya?

A2. SAYA MAHU MENCARI IBUSUSUAN
4. Siapakah yang boleh menjadi ibu susuan?
5. Bolehkah seorang wanita menyusukan anak susuan yang bukan dari kalangan keluarga atau sahabat-handai? (Ini kerana kami dapati di Malaysia ramai orang yang tidak gemar mencari orang luar).
6. Bolehkah wanita Muslim menyusukan anak yang bukan Muslim? 

A3. BAYI YG BOLEH DISUSUI
7. Perlukah anak susuan seorang wanita sama jantina dengan anak kandungnya? (kerana khuatir akan terjadinya permasalahan perkahwinan antara mahram sesusuan)
8. Apakah umur bayi yang boleh disusukan sebagai anak susuan?
9. Bolehkan saya menyusukan anak tidak sah taraf (contohnya anak luar nikah dan anak sumbang mahram)?
10. Bolehkah saya menyusukan anak-anak yang asal-usulnya tidak diketahui? Contohnya jika berlaku bencana alam dan ibubapanya tidak dapat dikesani
11. Bolehkah wanita bukan Muslim menyusu bayi Muslim?
12. Memandangkan tiada larangan untuk ibu bukan Muslim untuk menyusukan anak Muslim, apakah agama anak atau ibu itu kekal selepas penyusuan?


 B. CARA PENYUSUAN ANAK SUSUAN
13. Apakah rukun Hukum Penyusuan atau Al-Radha'ah?
14. Bolehkah saya memberikan susu saya yang telah diperah (EBM) kepada bayi yang bukan bayi/anak kandung saya?


C. ISU MAHRAM
  • SYARAT YANG MENJADIKAN WUJUDNYA HUBUNGAN MAHRAM
15. Berapa kali penyusuan sehingga bayi/anak berkenaan disabit sebagai anak susuan saya?
16. Apakah yang dimaksudkan dengan 'kenyang' semasa menyusu?
17. Apakah syarat komposisi susu ibu supaya tersabitnya Hukum Penyusuan?
18. Memandangkan hukum penyusuan hanya tersabit apabila seorang bayi berumur bawah 2 tahun qamariah minum sehingga kenyang sebanyak lima kali, bolehkah seorang bayi minum daripada ramai ibu tidak sampai 5 kali? Contohnya saya mahu mencari susu ibu untuk anak saya tapi tidak mahu pening memikirkan implikasi saudara susuan jadi saya berikan anak saya susu 10 orang wanita lain tetapi setiap orang dia minum hingga kenyang sebanyak empat kali sahaja. Adakah ini dibenarkan?
  • HUKUM MAHRAM & SUSURGALURNYA
19. Berapa orang ibu susuan dibenarkan untuk seorang anak? Jika tiada had, apakah implikasinya?
20. Siapakah yang menjadi mahram kepada anak susuan?
21. Siapakah yang menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan?
22. Adakah adik beradik anak susuan itu juga dianggap sebagai mahram kepada ibu susuan? 
23. Apakah suami dari ibu susuan termasuk mahram bagi bayi yang disusui?
24. Jika lebih dari seorang bayi yang bukan bersaudara disusukan oleh seorang ibu, adakah mereka dianggap sebagai saudara susuan?
25. Bolehkah anak susuan berkahwin dengan anak-anak bapa susuannya yang terhasil daripada perkahwinan bapa susuan dengan wanita lain?
26. Jika saya menyusukan seorang anak yang lebih daripada dua tahun qamariah, adakah Hukum Penyusuan tersabit dalam hal ini?
27. Bolehkah nenek menyusukan cucu dan kakak menyusukan adik?
  • LANGKAH-LANGKAH MEMELIHARA MAHRAM
28. Saya risau terjadinya perkahwinan antara mahram susuan. Apakah yang harus saya lakukan?

D. TANGGUNGJAWAB SIAPA MENYUSU
29. Siapakah yang bertanggungjawab untuk memastikan seseorang bayi itu dapat disusukan sepenuhnya?
30. Adakah ibu susuan perlu dibayar upah untuk susunya?

-----------------------------------------------------------------------------
1. Adakah saya boleh menyusukan bayi selain daripada anak kandung saya?
Ya. Ini dibenarkan oleh Islam. Nabi Muhammad saw sendiri mempunyai ibu susuan (Thuwayba dan Halimatus-sadia). Ibu-ibu susuan tersebut dipandang tinggi oleh Allah swt sebagai pengasuh Nabi Muhammad saw ketika kecil. Walaubagaimanapun, menyusui anak orang lain akan mewujudkan pertalian saudara susuan antara keluarga ibu susuan dan anak susuan.

(Rasulullah SAW pernah disusukan oleh Thuwaybah sebelum menjadi anak susuan Halimah As-Saadiah. Sirah ini dapat diteliti daripada hadith berikut:
Maksudnya
`Urwah bin al-Zubair menceritakan kepada ku (Az-Zuhriy), Zainab anak perempuan Abu Salamah memberitahunya, Ummu Habibah binti Abu Sufyan memberitahunya, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, kahwinilah saudara perempuanku”. Lalu Rasulullah bersabda, “Atau kamu sukakan hal itu?”. Aku berkata, “Ya, tidaklah aku bersendirian. Dan aku suka jika saudara perempuanku berkongsi yang terbaik denganku.” Rasulullah SAW bersabda, “Itu (berkahwin dengan dua adik-beradik) tidak halal bagiku”. Aku berkata, “Kami mendapat tahu bahawa engkau mahu berkahwin dengan anak Abu Salamah”. Rasulullah bersabda, “Anak Abu Salamah?”. Aku berkata, “Ya”. Rasulullah kemudian bersabda, “Sekalipun dia bukan anak kepada isteriku, ia tidak halal bagiku kerana dia anak kepada saudara sesusuanku. Thuwaybah telah menyusukanku dan Abu Salamah. Maka tidak boleh bagiku untuk berkahwin dengan anak-anak kamu dan saudara-saudara perempuan kamu”.


2. Saya mahu menjadi ibu susuan. Adakah saya perlu mendapatkan kebenaran suami saya?
Ya. Seseorang wanita yang telah berkahwin perlu mendapat persetujuan suami kerana
ia melibatkan nasab keturunan yang secara tidak langsung berkait dengan suami.

3. Bolehkah seorang wanita yang belum pernah berkahwin menjadi ibu susuan menerusi kaedah pencetus laktasi/induced lactation?
Seseorang wanita yang belum berkahwin boleh menyusukan bayi dengan menggunakan kaedah-kaedah teknologi terkini untuk menghasilkan susu. Mesyuarat Panel Kajian Syariah Jakim Kali Ke-41 pada 14 hingga 15 Oktober 2005 telah membincangkan isu ini dan mesyuarat memutuskan bahawa hukum menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan wanita adalah harus dengan syarat seseorang wanita itu tidak termasuk wanita yang dihasilkan melalui pertukaran jantina dan wanita tersebut telah baligh.

4. Siapakah yang boleh menjadi ibu susuan?
Seseorang wanita yang menyusukan bayi tersebut boleh terdiri daripada ibu kandungnya dalam ikatan perkahwinannya atau yang telah diceraikan atau wanita yang bukan ibu kandungnya. Syarat-syaratnya ialah:
  • Seorang wanita anak adam. Tidak terkesan hukum pertalian kekeluargaan sekiranya bukan dari kalangan anak adam, seseorang lelaki atau seseorang yang bukan wanita asli.
  • Wanita yang menyusukan itu masih hidup sewaktu bayi disusukan.
  • Wanita itu mempunyai susu sama ada hamil atau tidak, berkahwin atau tidak, atau telah menopaus atau belum.
  • Tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sifat ihsan.Perkara ini disebutkan oleh Syaikh M.S. Al-Munajjid ketika beliau menjawab soal jawab kemusykilan agama berkaitan isu ini. 
  • Walau bagaimanapun, makruh memberikan seseorang wanita bukan Islam menyusukan bayi beragama Islam. Ini kerana susu itu tidak selamat daripada makanan atau minuman haram yang sebati dalam makanan dan minuman wanita tersebut. Justeru, ditakuti bayi akan mewarisi sifat buruk kesan daripada pemakanan tersebut. Perkara ini dikiaskan kepada hukum makruh mengupah wanita yang tamak untuk menyusukan seseorang bayi yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab sunannya.

5. Bolehkah seorang wanita menyusukan anak susuan yang bukan dari kalangan keluarga atau sahabat-handai? (Ini kerana kami dapati di Malaysia ramai orang yang tidak gemar mencari orang luar)
Tiada larangan dalam Islam untuk menyusukan anak-anak yang bukan daripada kalangan saudara-mara atau sahabat-handai. Sejarah hidup Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa ibu susunya bukan daripada kalangan keluarganya. Saidatina Halimah Al-Saadiah adalah daripada kalangan Bani Sa`ad. Berkemungkinan rakyat Malaysia lebih gemar mencari anak susuan di kalangan keluarga dan rakan kerana ia lebih mudah dan lebih dipercayai oleh ibu bapa anak yang ingin disusukan.

6. Bolehkah wanita Muslim menyusukan anak yang bukan Muslim?
JAKIM : "Tidak disyaratkan bayi tersebut beragama Islam memandangkan tiada nas yang melarang seseorang wanita Islam menyusukan bayi bukan Islam. Namun begitu, perlu ditekankan penyusuan tidak mengubah agama seseorang. Syeikh Attiyyah Saqar menjelaskan bayi akan kekal dalam agamanya dan begitulah sebaliknya. 

Tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sifat ihsan.Perkara ini disebutkan oleh Syaikh M.S. Al-Munajjid ketika beliau menjawab soal jawab kemusykilan agama berkaitan isu ini.

Walau bagaimanapun, makruh memberikan seseorang wanita bukan Islam menyusukan bayi beragama Islam. Ini kerana susu itu tidak selamat daripada makanan atau minuman haram yang sebati dalam makanan dan minuman wanita tersebut. Justeru, ditakuti bayi akan mewarisi sifat buruk kesan daripada pemakanan tersebut. Perkara ini dikiaskan kepada hukum makruh mengupah wanita yang tamak untuk menyusukan seseorang bayi yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab sunannya.

7. Perlukah anak susuan seorang wanita sama jantina dengan anak kandungnya? (kerana khuatir akan terjadinya permasalahan perkahwinan antara mahram sesusuan)
Tidak menjadi kewajipan kepada seseorang ibu susuan untuk mencari anak susuan yang sama jantina dengan anak kandungnya. Seorang ibu susu boleh menyusukan seseorang bayi tanpa mengira jantina. Ini kerana tiada jaminan seseorang ibu itu hanya mempunyai anak lelaki sahaja atau sebaliknya.

Untuk mengelakkan berlakunya perkahwinan antara adik-beradik susuan, digalakkan supaya kedua-dua buah keluarga, iaitu keluarga ibu susuan dan keluarga anak susuan sentiasa menjalin hubungan yang rapat agar masing-masing dapat mengenali antara satu sama lain. Hubungan adik-beradik susuan juga perlu dijaga sepertimana hubungan dengan adik-beradik kandung.

8. Apakah umur bayi yang boleh disusukan sebagai anak susuan?
Umur bayi tidak melebihi dua tahun.

9. Bolehkah saya menyusukan anak tidak sah taraf (contohnya anak luar nikah dan anak sumbang mahram?)
Boleh. Anak yang hendak disusukan tidak disyaratkan statusnya. Mana-mana bayi tanpa mengira jantina, agama dan status, yang berumur kurang daripada dua tahun qamariah boleh disusukan.

10. Bolehkah saya menyusukan anak-anak yang asal-usulnya tidak diketahui? (Contohnya jika berlaku bencana alam dan ibubapanya tidak dapat dikesani).
Tidak disyaratkan identiti ibu bapa bayi tersebut diketahui. Bagi bayi yang diketahui identiti ibu bapa mereka, ia lebih mudah diuruskan.

Ayat 233 daripada surah Al-Baqarah telah menyebutkan, jika ibu kandung tidak mampu menyusukan bayinya, dia boleh mengupah orang lain untuk menyusukannya. Daripada umumnya lafaz yang digunakan dalam Al-Quran, ia menunjukkan tiada halangan untuk menyusukan bayi yang diketahui identiti ibu bapa mereka, walaupun mereka adalah anak-anak yang terbiar.

11. Bolehkah wanita bukan Muslim menyusu bayi Muslim?
Tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sifat ihsan.Perkara ini disebutkan oleh Syaikh M.S. Al-Munajjid ketika beliau menjawab soal jawab kemusykilan agama berkaitan isu ini.

Walau bagaimanapun, makruh memberikan seseorang wanita bukan Islam menyusukan bayi beragama Islam. Ini kerana susu itu tidak selamat daripada makanan atau minuman haram yang sebati dalam makanan dan minuman wanita tersebut. Justeru, ditakuti bayi akan mewarisi sifat buruk kesan daripada pemakanan tersebut. Perkara ini dikiaskan kepada hukum makruh mengupah wanita yang tamak untuk menyusukan seseorang bayi yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab sunannya.

12. Memandangkan tiada larangan untuk ibu bukan Muslim untuk menyusukan anak Muslim, apakah agama anak atau ibu itu kekal selepas penyusuan?
Agama seseorang anak yang disusukan oleh ibu yang berlainan agama dengannya tidak akan berubah hanya disebabkan faktor susuan. Dia kekal dalam agama asalnya.

13. Apakah rukun Hukum Penyusuan atau Al-Radha'ah?
Al-Radha'ah merujuk kepada keadaan di mana sampainya susu seseorang wanita ke dalam rongga tekak seseorang bayi sama ada dengan menyusu terus daripada payudara seseorang wanita atau melalui apa-apa kaedah yang boleh menggantikannya dengan syarat-syarat tertentu.

Definasi ini menjelaskan bahawa terdapat tiga perkara penting dalam konteks penyusuan iaitu

i. Bayi
Seseorang bayi berhak mendapatkan susu. Tempoh sempurna seseorang bayi itu mendapatkan susu secukupnya ialah 2 tahun genap. Perkara ini disandarkan kepada firman Allah SWT :
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap,..” (Surah al-Baqarah 2: 233)

ii. Ibu yang menyusu :
Manakala, seseorang wanita yang menyusukan bayi tersebut boleh terdiri daripada ibu kandungnya dalam ikatan perkahwinannya atau yang telah diceraikan atau wanita yang bukan ibu kandungnya.

iii. Kaedah penyusuan
Kaedah penyusuan pula merujuk kepada penyusuan terus daripada payudara wanita yang menyusukan atau apa-apa kaedah lain seperti susu yang diperah dan disimpan di dalam botol dan disusukan bayi tersebut melalui botol itu. Jika dilihat pada realiti hari ini expressed breast milk (EBM), menepati kaedah penyusuan yang disebutkan oleh para fuqaha. ”

a. “Al-Murdhi‘ = iaitu perempuan yang menyusukan. Disyaratkan orang yang menyusukan itu perempuan yang hidup dan telah mencapai usia sembilan tahun qamariah.
b. Ar-Radhi‘ = iaitu anak yang disusukan. Disyaratkan anak damit itu hidup dan umurnya tidak melebihi dua tahun qamariah (haulain) sekalipun lebihnya itu pada kadar sehari.
c. Al-Laban =  iaitu air susu perempuan. Disyaratkan air susu itu sampai masuk ke perut anak damit berkenaan sehingga ia boleh menyebabkan pertumbuhan badan anak tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
"Tidak menjadi mahram daripada susuan melainkan apa yang menumbuhkan daging dan menguatkan tulang."(Hadis riwayat Ahmad)

Disyaratkan juga had penyusuan itu tidak kurang daripada lima kali dalam waktu yang berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan. 
(Nota : Walaubagaimanapun, Yusuf Qardhawi berpendapat memberi EBM kepada bayi/anak orang lain TIDAK mewujudkan pertalian saudara susuan. Sila klik di sini untuk membaca pendapat beliau

14. Bolehkah saya memberikan susu saya yang telah diperah (EBM) kepada bayi yang bukan bayi/anak kandung saya?
Boleh. Kebanyakkan ilmuan Islam termasuk JAKIM berpendapat bahawa dengan memberi EBM anda kepada bayi/anak orang lain, jatuh hukum penyusuan sama seperti anda menyusu terus bayi/anak orang berkenaan, dan ia mewujudkan pertalian saudara susuan antara keluarga anda dan bayi/anak berkenaan.
(Nota : Walaubagaimanapun, Yusuf Qardhawi berpendapat memberi EBM kepada bayi/anak orang lain TIDAK mewujudkan pertalian saudara susuan. Sila klik di sini untuk membaca pendapat beliau

15. Berapa kali penyusuan sehingga bayi/anak berkenaan disabit sebagai anak susuan saya?
Menurut JAKIM dan Ustaz Naim, anak berkenaan perlu hanya minum susu sebanyak lima kali TANPA perlu kenyang sebelum dia dianggap anak susuan anda.

16. Apakah yang dimaksudkan dengan 'kenyang' apabila menyusu?
Menurut JAKIM, anak itu hanya perlu disusukan sebanyak lima kali TANPA perlu kenyang.

17. Apakah syarat komposisi susu ibu supaya tersabitnya Hukum Penyusuan?

" Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:
Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang. "

"Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.
Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.

Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5) "

18. Memandangkan hukum penyusuan hanya tersabit apabila seorang bayi berumur bawah 2 tahun qamariah minum sehingga kenyang sebanyak lima kali, bolehkah seorang bayi minum daripada ramai ibu tidak sampai 5 kali? Contohnya saya mahu mencari susu ibu untuk anak saya tapi tidak mahu pening memikirkan implikasi saudara susuan jadi saya berikan anak saya susu 10 orang wanita lain tetapi setiap orang dia minum hingga kenyang sebanyak empat kali sahaja. Adakah ini dibenarkan?
Tiada halangan untuk menyusukan bayi kurang daripada lima kali susuan. Namun begitu, hubungan saudara susuan bukanlah sesuatu yang membebankan berbanding usaha mencari ibu yang boleh menyusukan bayi tersebut yang mungkin memerlukan dua atau tiga orang ibu setiap hari. 
Hubungan saudara susuan tidak meninggalkan sebarang implikasi negatif. Malah, bayi tersebut akan mempunyai ahli keluarga yang lebih ramai. Jika keadaan ini berterusan, dikhuatiri kesihatan bayi akan terencat kerana kesukaran mendapatkan bilangan wanita yang ramai dan jumlah susu yang mencukupi.

19. Berapa orang ibu susuan yang dibenarkan untuk seorang bayi/anak?
  Tiada had bilangan ibu susuan bagi seorang bayi. Ini bermakna, anak susuan tersebut berpotensi mempunyai lebih ramai adik-beradik susuan. Jika seorang bayi menyusu dengan dengan dua orang ibu susuan atau lebih, hubungan anak susuan dengan semua anak-anak kandung ibu-ibu susuan adalah mahram iaitu tidak boleh berkahwin. Ia berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW

Maksudnya : 
Daripada Ibn Abbas RA, beliau meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda mengenai anak perempuan Hamzah, “Dia tidak halal bagiku untuk berkahwin. Haram oleh sebab susuan sepertimana haram oleh sebab keturunan. Dia merupakan anak perempuan kepada saudara lelaki susuanku”.
Selain itu, hukum ke atas anak susuan sama seperti sebahagian hukum ke atas anak kandung seperti aurat, khalwat dan tidak membatalkan wuduk apabila bersentuhan. Namun begitu, hukum-hukum lain seperti perwarisan harta, nafkah, pengguguran hukum qisas, tertolak kesaksian dan hukum-hukum lain yang khusus bagi anak kandung.

20. Siapakah yang menjadi mahram kepada anak susuan?
JAKIM : 
“ Terdapat banyak hadis yang menunjukkan susur galur keluarga yang diharamkan berkahwin disebabkan oleh penyusuan. Berikut merupakan kesimpulan pihak yang diharamkan berkahwin dengannya disebabkan oleh
penyusuan:
  • Wanita yang menyusukannya;
  • Anak-anak wanita yang menyusukannya sama ada anak-anak kandungnya atau anak-anak suaminya yang terdahulu;
  • Cucu-cucu wanita yang menyusukannya sama ada daripada anak-anak lelaki atau anak-anak perempuannya;
  • Bayi-bayi sesusuan. Sekiranya ibu menyusukan lebih daripada seorang bayi, bayi-bayi tersebut menjadi saudara susuan antara mereka dan maka mereka tidak boleh berkahwin.
  • Ibu kepada wanita yang menyusukan;
  • Nenek kepada wanita yang menyusukan dan ke atas;
  • Adik-beradik wanita yang menyusukannya. Anak-anak kepada adik-beradik wanita tersebut tidak diharamkan berkahwin dengannya; dan
  • Wanita yang menyusukan diharamkan berkahwin dengan anak kepada bayi yang disusukan dan ke bawah. 
  • Perempuan yang menyusukan
  • Suami ibu susuan
  • Ibu bapa kepada ibu susuan
  • Ibu bapa kepada suami ibu susuan
  • Adik beradik kepada ibu susuan
  • Adik beradik kepada bapa susuan
  • Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan
  • Anak-anak kepada ibu susuan
  • Anak-anak kepada bapa susuan 
…manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah."

21. Siapakah yang menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan?
"... ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah."

22. Adakah adik-beradik anak susuan itu juga dianggap sebagai mahram kepada ibu susuan?
Tidak. Hanya anak susuan dan ke bawah, iaitu anak dan cucunya sahaja yang dianggap sebagai mahram kepada wanita yang menyusukannya serta ahli keluarganya.Ini kerana adik-beradik anak susuan tidak berkaitan dengan wanita tersebut sama ada nasab atau susuan

"... ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah."

23. Apakah suami dari ibu susuan termasuk mahram bagi bayi yang disusui?
"...perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:
"Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy."

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy)."

Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu."

‘Urwah berkata: "Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."(Hadis riwayat Bukhari)" 
Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut.

24. Jika lebih dari seorang bayi yang bukan bersaudara disusukan oleh seorang ibu, adakah mereka dianggap sebagai saudara susuan?
Ya.

25. Bolehkah anak susuan berkahwin dengan anak-anak bapa susuannya yang terhasil daripada perkahwinan bapa susuan dengan wanita lain?
Anak susuan tidak boleh berkahwin dengan anak bapa susuan kerana mereka telah dianggap seperti adik beradik melalui susuan sama seperti haram berkahwin kerana nasab keturunan.

26. Jika saya menyusukan seorang anak yang lebih daripada dua tahun qamariah, adakah Hukum Penyusuan tersabit dalam hal ini?
Tidak.

“ Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."(Surah Al-Baqarah: 233)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
 "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."(Hadis riwayat Tirmidzi

27. Bolehkah nenek menyusukan cucu dan kakak menyusukan adik? 
Boleh seorang nenek menyusukan seorang cucu atau seorang kakak menyusukan seorang adik. Bayi yang disusukan tetap kekal mahram sepertimana ia menjadi mahram kerana nasab.

28. Saya risau terjadinya perkahwinan antara mahram susuan. Apakah yang harus saya lakukan?
Untuk mengelakkan berlakunya perkahwinan antara adik-beradik susuan, digalakkan supaya kedua-dua buah keluarga, iaitu keluarga ibu susuan dan keluarga anak susuan sentiasa menjalin hubungan yang rapat agar masing-masing dapat mengenali antara satu sama lain. Hubungan adik-beradik susuan juga perlu dijaga sepertimana hubungan dengan adik-beradik kandung.

( HM4HB Malaysia :
Sila rujuk link ini untuk membaca cadangan-cadangan untuk memelihara silaturrahim penyusuan )

29. Siapakah yang bertanggungjawab untuk memastikan seseorang bayi itu dapat disusukan sepenuhnya sehingga 2 tahun?
1. Bapa
2. kemudian, Ibu.

Uztaz Naim :
" 1.  Bapa
Apabila lahir seorang anak damit, maka adalah menjadi kewajipan kepada bapa anak damit itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut. Manakala seorang ibu pula wajib menyusukan anaknya dengan air susu yang baru keluar dari sejak kelahiran (al-liba’)

Sekalipun pada lazimnya seorang ibu akan menyusukan anaknya, namun perkara tersebut bukanlah wajib ke atasnya untuk berbuat sedemikian jika ada perempuan lain yang boleh menyusukan anak damit itu. Tetapi jika ibu tersebut menyusukannya pembiayaan penyusuan itu adalah wajib ke atas bapa anak damit itu sekiranya anak tersebut tidak memiliki harta. Oleh yang demikian si suami tidak ada hak untuk memaksa isterinya bagi menyusukan anaknya. Jika terjadi pertelingkahan antara suami dan isteri sama ada pada menyusukan atau[y] pembiayaannya, maka bolehlah suami meminta perempuan lain untuk menyusukannya. Dalam hal ini suami juga berkewajipan membiayai penyusuan tersebut. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
"Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya."(Surah At-Thalaq: 6)
Jika si ibu itu berkehendak untuk menyusukan anaknya, maka dia berhaklah menyusukannya. Menurut pengarang Al-Minhaj, berdasarkan pendapat yang ashah suami tersebut tidak berhak melarang isterinya menyusukan anaknya sendiri sebagaimana yang telah dishahihkan oleh kebanyakan ulama’. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
"Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya."(Surah Al-Baqarah: 233)
Ini kerana larangan suami terhadap isterinya bagi penyusuan anak damit itu, boleh mendatangkan kesengsaraan kepada si ibu itu sendiri, kerana si ibu lebih rapat dan condong hatinya kepada si anak. Begitulah juga dengan susu ibu, ianya lebih serasi dan sesuai jika diberikan kepada anaknya sendiri. (Nihayah Al-Muhtaj: 7/222, Mughni Al-Muhtaj: 3/573)

Kewajipan suami membiayai penyusuan anaknya - sekalipun anak damit itu adalah anak isterinya sendiri - adalah berasaskan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
"Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu maka berikanlah kepada mereka upahnya."(Surah At-Thalaq: 6)
Jika si isteri itu meminta upah yang tinggi daripada suaminya sehingga melebihi upah yang sebanding atau ada perempuan lain yang mendermakan susunya atau perempuan lain itu meminta upah yang lebih rendah daripada upah yang sebanding, maka harus bagi suami untuk tidak memenuhi kehendak isterinya itu sebaliknya mengupah perempuan lain itu untuk menyusukan anaknya. (Mughni Al-Muhtaj: 3/573)

2. Ibu
Berlainan halnya, jika anak itu tidak berbapa atau bapa dan anak damit itu tidak memiliki harta atau pun anak itu tidak menerima susu perempuan yang lain atau anak damit itu anak zina atau tiada diperolehi perempuan lain yang boleh menyusukan, maka dalam hal ini penyusuan itu wajib ke atas ibunya. “

30. Adakah ibu susuan perlu dibayar upah untuk susunya?
Ibu susuan perlu dibayar upah sepertimana firman Allah SWT:
...Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu secara yang patut...”.



Renung-renungkan :)

Qaseh...
alynn fazz

Tuesday, January 29, 2013

Rawat Demam Panas dengan Doa

Salam Ukwah..

Sekarang musim demam eh? kami anank-beranak kena demam selsema minggu lepas.. Shukur dah sihat semua. Ni adik susuan Arash.. si Pearl admitted kat spital demam dan kahak.. sian Pearl. dah 3 hari dah..
moga Pearl cepat sembuh.. aminn..

Dulu masa Iskandar kecil dia memang selalu demam. Boleh dikatakan tiap bulan. Masa tu aku heran gak la aku bagi susu badan yang kaya dengan antibodi tapi kenapa Iskandar mudah kena demam. Aku rasa sebab ilmu penyusuan aku masa tu tak cukup. Orang kata tak abis belajar hahahah.. yela aku hanya bagi bekalan susu beku semata-mata masa hantar kat pengasuh.. sepatutnya bagi 60 % susu perahan segar dan lg 40 % tu baru susu beku. Susu beku nikan dah kurang separuh dia punya antibodi. aku tatau time tu hahahha.. Tapi apapun walaupun susu perahan beku, masih lagi berganda khasiat dia daripada susu formulakan.. Tula agaknya sebab Iskandar ni mudah kena penyakit.. asik la demam. Aku siap kena sound dengan boss je.. biasa la jenis boss tak paham kan cenggitu la..

Izz masa umur setahun demam. Tuala basah mesti letak atas kepala je.. 

Tapi kalau la aku tau ada ruqyah/ doa yang boleh kita amalkan untuk merawat demam ni mesti aku dah buat time tu. Ni aku baru tau.. tu pun mak aku bagi tau ( love u mak.. mmmmuahhh) suruh baca doa Nabi Ibrahim masa kena bakar dulu untuk turunkan suhu time Arash demam ritu. Lepas tu baru teringat nak tanya pakcik Google pasal Perawatan Demam kaedah Islam.. Aku percaya ada mesti ada cara perawatan Islam. So membawa aku ke blog saudara ini http://murabbiy.wordpress.com/2010/12/23/doa-bagi-merawat-demam-panas-2/


 Terima kasih kepada beliau berkongsi doa dan tips ni.


Tengok muka mak budak yang sakit.. muka tak boleh blah.. mengalahkan orang sakit.. yela anak sakit  mak kena berjaga malam, mata panda.. tengok dah macam zombie.. :p

eee muka 6 tahun yang lalu.. muka muda. rasa cam dah berusia sangat aku ni skang


Aku dah try dua kali. Alhamdulliah berkesan. First time sebulan yang lepas. Time aku aku kena jadi emcee dinner opis. Sekali En. Arman call kata Iskandar dah gigil-gigil. Memang dia demam masa tu. tapi dah bagi ubat demam aku ingat ok la. rupanya temperature dia terus naik sampai gigil. Aku rashing balik, ambil air, asam jawa aku , tenyeh-tenyeh asam dengan air dalam besen dan air mineral aku baca la doa untuk demam masukkan sebahagian dalam air asam jawa tu, sebahagian lagi sapu muka dan bg minum. Air asam tu aku jelum kepala Iskandar.. banyak kali juga la ganti dan rendam tuala tu.. dan syukur esok pagi dengan izin Allah dah reda panas dia dan terus boleh bersilat ultraman balik. hehehe. Arash pun ada deman ritu dan aku buat kaedah yang sama.. syukor berkesan juga. yang penting kita kena yakin. Tapi ubat demam kenala makan juga ye puan-puan.. kira kita kasi bergabung la kaedah Islam/Lama dan moden.. gitu..
Eh lupa nak cakap. Aku buat ruqyah ni sebagai tambahan kepada ubatan yang doktor kasi tau. Apapun kalau anak demam bawa pi klinik, makan ubat yang doktor kasi dan sambil tu boleh la buat perawatan secara Islam jugak.
Demam tapi still aktif.. :)


Langkah #1: Sediakan bahan berikut:
1. Air mineral
2. Besen kecil
3. Tuala muka
4. Ais
5. Baldi kecil
Langkah #2: Bacakan rangkaian doa berikut 
1. Al-Fatihah (1x)
2. Ayat Kursi (1x)
3. Selawat Syifa’ (1x)
Sambung dengan doa berikut;
4. Doa Nabi Ibrahim a.s (1x)
Maksudnya:
Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (Surah al-Anbiyaa’ : ayat 69)
atau;
. Doa demam panas (1x)
Maksudnya:
Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kejahatan setiap urat yang menggelegak dan daripada kejahatan panas api neraka.

Kesemua  rangkaian doa tersebut.

Langkah #3: Proses rawatan
1. Setelah selesai membaca doa hembus pada air mineral (air zam-zam lagi bagus) sehingga habis nafas.
2. Masukkan air yang telah didoakan ke dalam besen kecil. ( Aku letakkan sekali asam jawa aku campur kaedah perawatan Islam dan petua orang Melayu lama)
3. Rendam tuala ke dalam besen yang berisi air doa.
4.  Tuam tuala tadi ke anggota badan pesakit bermula dengan celah jari kaki kemudian di belakang lutut, celah paha, celah ketiak, leher, tengkuk dan jelum kepala (gunakan kain yang lain).
Langkah #4: Usaha tambahan
1. Mandi seperti biasa mesti dilakukan (pagi & petang)
2. Jika panas berterusan;
a. masukkan air doa ke dalam baldi kecil (mesti didahulukan)
b. masukkan ais
c. Rendam kaki pesakit ke dalam air yang berisi ais
d. Pantau suhu badan pesakit
3. Dapatkan rawatan doktor
Nota editor:
1. Langkah tersebut dilakukan adalah sebagai ikhtiar awal sebelum pesakit mendapat rawatan daripada doktor
2. Sekiranya air doa sudah berkurangan, ia boleh ditambah dengan memasukkan air mineral (bukan air masak)
 Ok kita dah tau doa dan kedah perawatan untuk deman panas ni.. Now meh kita baca sedikit sebanyak mengenai demam panas ni pulak..


Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”
Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”


Demam adalah daripada percikan api neraka dan 
Sejukkannya dengan Air





Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu merupakan legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5889)

Begitu juga sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5882)



Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’ meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:
Maksudnya: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”

# Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, hendaklah merenjiskan air sejuk ke atas tubuh badannya sebanyak tiga malam pada waktu sahur.
# Daripada hadis Nafi’ bin Jubir, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, sesungguhnya demam itu adalah sebahagian daripada api neraka, hendaklah memadamkannya dengan air sejuk. Hendaklah berendam dalam sungai yang mengalir, mengadap aliran air selepas solat subuh dan sebelum naik matahari dan hendaklah membaca Basmalah. Hendaklah berendam selama tiga kali selama 3 hari. Jika tak sembuh cubalah sebanyak 5x,7x atau 9x. Sesungguhnya ia tidak akan melebihi daripada 9x InsyaAllah.
# Daripada Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menemui Ummu al-Sa’ib kerana melawatnya. Baginda bersabda: “Kenapa anda menggigil? Jawabnya: Demam dan tidak ada keberkatan daripada Allah padanya. Sabda baginda s.a.w: Jangan mencaci demam, kerana sesungguhnya ia menghapuskan kesalahan anak Adam, sebagaimana mesin penghembus api menghapuskan karat-karat pada besi.

Membaca Ruqyah
Rasulullah s.a.w. juga menyarankan agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”
Imam al-Baihaqi juga ada meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata: “Rasulullah s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan. Tetapi jika kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’ Aisyah berkata: ‘Ajarilah aku.’ Baginda bersabda:
Maksudnya: “Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”
“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.” Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh. Dalam satu riwayat ada tambahan, “Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”
Berpunca daripada Bahang Neraka?
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, maksud ucapan Nabi s.a.w. “demam itu berpunca daripada bahang neraka jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan dalam hadis yang lain, “Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang jahanam.”
Di sana ada dua pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut. Pendapat pertama menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran. Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.
Manakala pendapat kedua pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam. Allah s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka. Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.
Maksud Air
Ucapan Nabi s.a.w. “sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat dua pengertian. Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar. Kedua, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita: “Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam. Kemudian Ibn Abbas berkata, ‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud), ‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka jahanam. Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ atau Baginda s.a.w. menyebut, ‘Air zamzam.’”
Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain. Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan. Dalam dua pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.
Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan. Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama tiga malam pada waktu fajar.” (Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)
Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ menyebut: “Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.” Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata, “Hadis tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.” Yang dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.
Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.” Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w. meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, kemudian Baginda mandi.” (Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar)
Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata: “Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’” (Riwayat Ibn Majah)
Menurut riwayat sebuah athar iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”
Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya. Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak tiga ratus enam puluh. Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.

Dengan Arwah Mama (Mak Mertua) time ni kat zoo.. sepupu nak gi zoo.. kami malas nak masuk so lepaking ke luar je sambil makan rimau.. eh limau :p
Setiap ujian dan musibah yang Allah swt timpakan kepada hamba-Nya yang sabar dan redha, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”
Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah swt akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam




tengok gambar ni.. terasa rindu pada arwah Mama.. moga mama sentiasa tenang disana.. al-fatihah

Qaseh...
alynn fazz