Sekarang musim demam eh? kami anank-beranak kena demam selsema minggu lepas.. Shukur dah sihat semua. Ni adik susuan Arash.. si Pearl admitted kat spital demam dan kahak.. sian Pearl. dah 3 hari dah..
moga Pearl cepat sembuh.. aminn..
Dulu masa Iskandar kecil dia memang selalu demam. Boleh dikatakan tiap bulan. Masa tu aku heran gak la aku bagi susu badan yang kaya dengan antibodi tapi kenapa Iskandar mudah kena demam. Aku rasa sebab ilmu penyusuan aku masa tu tak cukup. Orang kata tak abis belajar hahahah.. yela aku hanya bagi bekalan susu beku semata-mata masa hantar kat pengasuh.. sepatutnya bagi 60 % susu perahan segar dan lg 40 % tu baru susu beku. Susu beku nikan dah kurang separuh dia punya antibodi. aku tatau time tu hahahha.. Tapi apapun walaupun susu perahan beku, masih lagi berganda khasiat dia daripada susu formulakan.. Tula agaknya sebab Iskandar ni mudah kena penyakit.. asik la demam. Aku siap kena sound dengan boss je.. biasa la jenis boss tak paham kan cenggitu la..
Izz masa umur setahun demam. Tuala basah mesti letak atas kepala je.. |
Tapi kalau la aku tau ada ruqyah/ doa yang boleh kita amalkan untuk merawat demam ni mesti aku dah buat time tu. Ni aku baru tau.. tu pun mak aku bagi tau ( love u mak.. mmmmuahhh) suruh baca doa Nabi Ibrahim masa kena bakar dulu untuk turunkan suhu time Arash demam ritu. Lepas tu baru teringat nak tanya pakcik Google pasal Perawatan Demam kaedah Islam.. Aku percaya ada mesti ada cara perawatan Islam. So membawa aku ke blog saudara ini http://murabbiy.wordpress.com/2010/12/23/doa-bagi-merawat-demam-panas-2/
Terima kasih kepada beliau berkongsi doa dan tips ni.
Tengok muka mak budak yang sakit.. muka tak boleh blah.. mengalahkan orang sakit.. yela anak sakit mak kena berjaga malam, mata panda.. tengok dah macam zombie.. :p |
eee muka 6 tahun yang lalu.. muka muda. rasa cam dah berusia sangat aku ni skang |
Aku dah try dua kali. Alhamdulliah berkesan. First time sebulan yang lepas. Time aku aku kena jadi emcee dinner opis. Sekali En. Arman call kata Iskandar dah gigil-gigil. Memang dia demam masa tu. tapi dah bagi ubat demam aku ingat ok la. rupanya temperature dia terus naik sampai gigil. Aku rashing balik, ambil air, asam jawa aku , tenyeh-tenyeh asam dengan air dalam besen dan air mineral aku baca la doa untuk demam masukkan sebahagian dalam air asam jawa tu, sebahagian lagi sapu muka dan bg minum. Air asam tu aku jelum kepala Iskandar.. banyak kali juga la ganti dan rendam tuala tu.. dan syukur esok pagi dengan izin Allah dah reda panas dia dan terus boleh bersilat ultraman balik. hehehe. Arash pun ada deman ritu dan aku buat kaedah yang sama.. syukor berkesan juga. yang penting kita kena yakin. Tapi ubat demam kenala makan juga ye puan-puan.. kira kita kasi bergabung la kaedah Islam/Lama dan moden.. gitu..
Eh lupa nak cakap. Aku buat ruqyah ni sebagai tambahan kepada ubatan yang doktor kasi tau. Apapun kalau anak demam bawa pi klinik, makan ubat yang doktor kasi dan sambil tu boleh la buat perawatan secara Islam jugak.
Demam tapi still aktif.. :) |
Langkah #1: Sediakan bahan berikut:
1. Air mineral
2. Besen kecil
3. Tuala muka
4. Ais
5. Baldi kecil
Langkah #2: Bacakan rangkaian doa berikut
1. Al-Fatihah (1x)
2. Ayat Kursi (1x)
3. Selawat Syifa’ (1x)Sambung dengan doa berikut;4. Doa Nabi Ibrahim a.s (1x)Maksudnya:
Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (Surah al-Anbiyaa’ : ayat 69)atau;
Maksudnya:
Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kejahatan setiap urat yang menggelegak dan daripada kejahatan panas api neraka.
Langkah #3: Proses rawatan
1. Setelah selesai membaca doa hembus pada air mineral (air zam-zam lagi bagus) sehingga habis nafas.
2. Masukkan air yang telah didoakan ke dalam besen kecil. ( Aku letakkan sekali asam jawa aku campur kaedah perawatan Islam dan petua orang Melayu lama)
3. Rendam tuala ke dalam besen yang berisi air doa.4. Tuam tuala tadi ke anggota badan pesakit bermula dengan celah jari kaki kemudian di belakang lutut, celah paha, celah ketiak, leher, tengkuk dan jelum kepala (gunakan kain yang lain).
Langkah #4: Usaha tambahan
1. Mandi seperti biasa mesti dilakukan (pagi & petang)
2. Jika panas berterusan;
a. masukkan air doa ke dalam baldi kecil (mesti didahulukan)
b. masukkan ais
c. Rendam kaki pesakit ke dalam air yang berisi ais
d. Pantau suhu badan pesakit
3. Dapatkan rawatan doktor
Nota editor:
Ok kita dah tau doa dan kedah perawatan untuk deman panas ni.. Now meh kita baca sedikit sebanyak mengenai demam panas ni pulak..1. Langkah tersebut dilakukan adalah sebagai ikhtiar awal sebelum pesakit mendapat rawatan daripada doktor
2. Sekiranya air doa sudah berkurangan, ia boleh ditambah dengan memasukkan air mineral (bukan air masak)
Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”
Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”
Demam adalah daripada percikan api neraka dan
Sejukkannya dengan Air
Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu merupakan legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5889)
Begitu juga sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5882)
Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’ meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:
Maksudnya: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”
# Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, hendaklah merenjiskan air sejuk ke atas tubuh badannya sebanyak tiga malam pada waktu sahur.
# Daripada hadis Nafi’ bin Jubir, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang daripada anda demam, sesungguhnya demam itu adalah sebahagian daripada api neraka, hendaklah memadamkannya dengan air sejuk. Hendaklah berendam dalam sungai yang mengalir, mengadap aliran air selepas solat subuh dan sebelum naik matahari dan hendaklah membaca Basmalah. Hendaklah berendam selama tiga kali selama 3 hari. Jika tak sembuh cubalah sebanyak 5x,7x atau 9x. Sesungguhnya ia tidak akan melebihi daripada 9x InsyaAllah.
# Daripada Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah menemui Ummu al-Sa’ib kerana melawatnya. Baginda bersabda: “Kenapa anda menggigil? Jawabnya: Demam dan tidak ada keberkatan daripada Allah padanya. Sabda baginda s.a.w: Jangan mencaci demam, kerana sesungguhnya ia menghapuskan kesalahan anak Adam, sebagaimana mesin penghembus api menghapuskan karat-karat pada besi.
Membaca Ruqyah
Rasulullah s.a.w. juga menyarankan agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”
Imam al-Baihaqi juga ada meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata: “Rasulullah s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan. Tetapi jika kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’ Aisyah berkata: ‘Ajarilah aku.’ Baginda bersabda:
Maksudnya: “Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”
“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.” Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh. Dalam satu riwayat ada tambahan, “Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”
Berpunca daripada Bahang Neraka?
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, maksud ucapan Nabi s.a.w. “demam itu berpunca daripada bahang neraka jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan dalam hadis yang lain, “Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang jahanam.”
Di sana ada dua pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut. Pendapat pertama menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran. Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.
Manakala pendapat kedua pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam. Allah s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka. Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.
Maksud Air
Ucapan Nabi s.a.w. “sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat dua pengertian. Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar. Kedua, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita: “Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam. Kemudian Ibn Abbas berkata, ‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud), ‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka jahanam. Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ atau Baginda s.a.w. menyebut, ‘Air zamzam.’”
Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain. Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan. Dalam dua pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.
Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan. Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya’ dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama tiga malam pada waktu fajar.” (Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)
Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ menyebut: “Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.” Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata, “Hadis tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.” Yang dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.
Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.” Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w. meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, kemudian Baginda mandi.” (Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar)
Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata: “Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’” (Riwayat Ibn Majah)
Menurut riwayat sebuah athar iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”
Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya. Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak tiga ratus enam puluh. Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.
Dengan Arwah Mama (Mak Mertua) time ni kat zoo.. sepupu nak gi zoo.. kami malas nak masuk so lepaking ke luar je sambil makan rimau.. eh limau :p |
Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah swt akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam
Sumber : Solusi
Ustaz Wahid Abd Haniff ( wahid@telagabiru.net.my )
http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=254:kaedah-merawat-demam-menurut-islam&catid=42:artikal&Itemid=367
Ustaz Wahid Abd Haniff ( wahid@telagabiru.net.my )
http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=254:kaedah-merawat-demam-menurut-islam&catid=42:artikal&Itemid=367
tengok gambar ni.. terasa rindu pada arwah Mama.. moga mama sentiasa tenang disana.. al-fatihah |
Qaseh...
alynn fazz